Thứ Ba, 24 tháng 5, 2011

Pusat Tidak Tunai Janji, Masih Amal Projek Runding Terus

Dari TV Selangor

Ahli parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar mendakwa kerajaan Pusat tidak telus dalam pemberian kontrak projek naiktaraf Loji Rawatan Kumbahan Pantai 2 di Lembah Pantai, Kuala Lumpur.

Dakwa beliau, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air kini berada di peringkat akhir untuk menganugerahkan projek tersebut kepada kontraktor dengan nila RM1 bilion sedangkan anggaran sebelum ini hanya sekitar RM500 juta.

“Tiada usaha tender terbuka dibuat bagi kerja penaiktarafan Loji Rawatan Kumbahan Pantai 2. Jika kementerian sudahpun berada di peringkat akhir menganugerahkan kerja-kerja tersebut, ini bermakna projek tersebut dibuat secara rundingan terus dengan kontraktor.

“Apa yang membimbangkan saya ialah projek tersebut dianugerahkan pada nilai RM 1 Billion, 100 peratus lebih mahal dari anggaran pasaran, ” tegas Izzah pada sidang media di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat di sini hari ini.

Loji tersebut telah dirasmikan pada 15 Disember 2008 oleh Timbalan Menteri Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi ketika itu Datuk Joseph Salang menggunakan dana Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA).

Menurut Izzah ketika itu, pegawai Konsortium Indah Water menyatakan anggaran kos naik taraf itu hanyalah RM500 juta.

Justeru menurut Izzah betapa tindakan Kementerian itu kini bertentangan dengan apa yang dijanjikan Perdana Menteri Najib Razak mengenai kontrak rundingan terus dengan kelulusan projek kerajaan sebelum ini.

“Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah pun mengumumkan kepada rakyat bahawa amalan rundingan terus akan ditamatkan. Maklumat ini membuktikan program-program transformasi yang dijaja oleh Barisan Nasional tidak mempunyai sebarang makna. Apabila kita mengambilkira jumlah hutang kerajaan yang akan diwarisi oleh generasi muda negara kita, dakwaan peningkatan kos 100 peratus ini teramatlah mendukacitakan,” jelas Izzah

Justeru Izzah menyeru menteri bertanggungjawab, Datuk Peter Chin Fah Kui untuk menjelaskan ketelusan projek tersebut kepada rakyat.

“Dengan ini saya menyeru Menteri yang bertanggungjawab Datuk Peter Chin untuk menjelaskan sama ada usaha tender telah pun dibuat untuk mendapat harga terbaik untuk projek ini.

“Saya juga berharap mereka yang mempunyai maklumat mengenai projek ini untuk tampil ke hadapan dan memberikan lebih maklumat agar kita dapat menghentikan sebarang penyalahgunaan wang rakyat,” tegas beliau.


Link to full article

Không có nhận xét nào:

Đăng nhận xét