Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menegaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak perlu melakukan sumpah laknat bagi menafikan dirinya sebagai si pelaku dalam video seks, yang didakwa “Datuk T” Mac lalu sementara isu cabar-mencabar mengenai masih hangat diperkatakan.
Mantan pimpinan Abim, Prof Dr Ashraf Md Hashim berkata, Anwar tidak perlu melayan sumpah laknat kerana sumpah laknat disempurnakan oleh ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah dikira tidak sah mengikut syariah Islam.
“Jika mengikut syariah Islam, walaupun Eskay membuat sumpah laknat atas kemahuan sendiri tetapi beliau masih tidak memenuhi syarat sah sumpah seperti dalam Islam di mana sumpah laknat perlu dilakukan di mahkamah, sumpah tersebut mesti mendapat kelulusan mahkamah (hakim) dan mesti disaksikan oleh empat saksi.
“Walaupun Eskay dengan rela hati membuat sumpah laknat, namun beliau tidak memenuhi syarat sumpah laknat menjadi sah seperti yang terkandung dalam syariah Islam,” katanya pada diskusi berkenaan hukum qazaf dan sumpah menurut syariah anjuran Abim, hari ini.
Sebelum ini, Eskay telah mengajak Anwar menyertainya untuk melafazkan sumpah laknat di Masjid Al-Amru Al-As, Bandar Baru Sentul, jika benar Ketua Pembangkang itu bukan lelaki yang melakukan hubungan seks dengan seorang wanita asing dalam rakaman videoyang didedahkannya, bulan lepas.
Beliau telah mengangkat sumpah laknat Jumaat lalu dengan memegang al-Quran, mengatakan “Aku bersumpah bahawa aku dan Datuk Seri Anwar Ibrahim berada dalam paparan video yang telah dipaparkan pada 21 Februari tahun 2011 dan Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah pelaku dalam video tersebut. Sekiranya aku melakukan fitnah dalam kenyataan bersumpah ini, maka Allah akan melaknat akan diriku.”
Selain itu, Ashraf turut berkata, dalam syariah Islam, pendakwaan hanya boleh dilakukan apabila cukup empat syarat iaitu orang yang menuduh, pendakwaan dilakukan di mahkamah, orang yang dituduh perlu hadir dan isu yang dimaklumi dibuat kepada penghakiman. Dalam pada itu, Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia Musa Awang berkata, Anwar berhak menolak sumpah laknat mengenai pelaku video seks.
Katanya, jika mengikut syariat Islam, Anwar tidak perlu melayan sumpah tersebut kerana pada asalnya sendiri tidak betul cara dan tempatnya.
Bagaimanapun kata beliau, secara moralnya pula Anwar perlu balas sumpah untuk mengelakkan moral dirinya tercalar.
Naib Presiden Pencerdasan Ummah (Wadah), Dr Abdul Halim El-Muhammady berkata, sekarang ini berlaku kekeliruan yang ditimbulkan media massa hanya memperkatakan berkenaan prosedur sumpah tetapi bukan subjek sumpah ekoran kenyataan Mufti Perlis Dr Juanda Jaya yang mengatakan mengenai sumpah mubahalah.
“Sebenarnya dalam syariat Islam, sumpah mubahalah hanya berlaku apabila penuduh dan si tertuduh melakukan sumpah laknat. Sumpah mubahalah juga melibatkan akidah. Oleh itu, jika ada pihak perlu bersumpah dan menyuruh sebelah pihak lagi bersumpah adalah tidak benar.
“Ini sekali gus akan mengelirukan masyarakat dan menjadikan sumpah itu sebagai budaya dalam masyarakat. Jadi, buat apa kita sibuk menyuruh seseorang melakukan sumpah laknat. Sebagai orang Islam, apa yang penting, berserah kepada Allah s.w.t., biar Dia yang menentukan siapa yang bersalah, siapa yang tidak bersalah,” ujarnya.
Beliau menambah, kekeliruan ini juga timbul disebabkan media massa yang mengeluarkan berita tidak kena pada tempatnya.
Mereka hanya mengambil kira prosedur sumpah tetapi tidak mengambil objektif sumpah tersebut.
“Kadang kala orang yang membuat sumpah itu, tidak memahami syariah Islam dan tidak merujuk kepada buku syariah sebelum menyatakan sumpah.
“Jika mereka tidak bersumpah di hadapan hakim, sumpah itu tidak dikira sah. Oleh itu, seharusnya kita jangan bunuh adat Melayu, adat Islam dan hanya mengikut kehendak diri tanpa merujuk kepada yang lebih pakar, “ katanya lagi.
Link to full article
Không có nhận xét nào:
Đăng nhận xét