Oleh Mohd Rashidi Hassan
Barisan Nasional nampaknya sedang memperjudikan nasib mereka dengan percubaan untuk membunuh karektor peribadi Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dengan menyebarkan video yang didakwa membabitkan beliau.
Kali pertama taktik kotor dibuat pada zaman Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri iaitu pada tahun 1988. Kali kedua, takik yang sama diulang oleh Dato’ Seri Mohd Najib Abdul Razak.
Motif kedua-dua PM ini mudah, supaya rakyat tahu siapa Anwar dan selepas Anwar di’telanjangkan’ rakyat akan menolak Anwar.
Usaha untuk membunuh keperibadian Anwar dan menghapuskannya di persada politik negara, sudah tentunya merupakan suatu agenda yang difahami, iaitu untuk mempertahankan kuasa PM dan Umno-BN.
Mahathir ketika menerajui Umno-BN tidak menyangka rakyat akan bangkit sedemikian rupa selepas mendedahkan sepuluh salahlaku Anwar secara berleluasa dan menghukumnya bersalah, sebelum beliau dibicarakan di mahkamah.
Perkiraan Mahathir ketika itu silap. Tindakan jahat beliau dibalas dengan meletusnya gerombolan reformasi yang ditunjangi rakyat bawahan menentang keangkuhan kuasa pemimpin Umno-BN.
Kesan daripada kesilapan Mahathir besar. BN nyaris-nyaris hilang dua pertiga majoriti pada tahun 1999 dengan undi popular yang jatuh menjunam, khususnya di kalangan orang-orang Melayu. Pada ketika itu BN masih kekal berkuasa kerana mendapat dokongan ampuh dari kalangan bukan Melayu.
Amarah rakyat dalam isu yang berkait dengan kezaliman terhadap Anwar, korupsi, kronisme dan nepotisme pada ketika itu tidak menjalar di kalangan bukan Melayu.
Kekuatan BN selepas pertukaran PM kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi tidak banyak mengubah nasib Umno-BN. Amarah rakyat kepada Umno-BN macam ‘api dalam sekam’. Ia dibuktikan pada Pilihan Raya Umum 2008 di mana gabungan parti pembangkang berjaya merampas lima negeri dan sekaligus menafikan dua pertiga majoriti BN di Parlimen.
Namun suasana sekarang sudah berubah. Orang Melayu yang tidak menyokong Umno-BN pada 1998 majoritinya kekal sehingga hari ini. Ditambah pula dengan kebangkitan kaum bukan Melayu yang turut sama menolak BN pada 2008 hingga ke Pilihan Raya Negeri Sarawak tahun ini.
Dengan membawa kes kedua Anwar yang dimulakan dengan kes liwat pada 2008 dan kes video seks, Umno-BN menyangka dengan isu ini mereka boleh membunuh Anwar kali kedua.
Umno-BN berfikir bahawa dengan membunuh karektor peribadi Anwar, perjuangan Anwar akan lenyap dan Pakatan Rakyat akan menjadi lemah.
Mereka ternyata lupa bahawa agenda utama Pakatan Rakyat, yang didokong majoriti rakyat jelata akan tetap menolak Umno-BN dalam apa jua keadaan.
Asas yang terpenting dalam Pakatan Rakyat adalah konsensus untuk bekerjasama membentuk Kerajaan Pusat dengan menjatuhkan BN pada PRU akan datang.
Waima ada Anwar atau tidak. Perjuangan yang dibawa Anwar sudah merepasi jauh di lubuk hati rakyat, iaitu sudah sampai masanya keangkuhan Umno-BN dihentikan. Kezaliman Umno-BN dihapuskan, ketuanan juak-juak politik Umno-BN diranapkan.
Semuanya digantikan dengan ketuanan rakyat. Ketuanan yang mendukung aspirasi rakyat untuk hidup dengan lebih demokratik, adil dan saksama di bawah naungan Pakatan Rakyat.
Silap catur Umno-BN akan terus membawa mereka ke jurang kemunahan dan penolakan rakyat.
Link to full article
Không có nhận xét nào:
Đăng nhận xét