Thứ Năm, 19 tháng 5, 2011

Chat di Yahoo! Anwar Jawab 57 Soalan Isu Politik, Ekonomi

Dari Keadilan Daily

Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menjawab 57 soalan dari pengguna internet, secara langsung di saluran segmen interaktif Yahoo! Malaysia ’Question Time’.

Berikutan sambutan yang di luar jangkaan, sesi yang bermula jam 11.30 pagi dan dijadual berlangsung selama sejam sahaja itu, dilanjutkan sehingga satu jam 15 minit.

Terdapat lebih 2,000 pembicara (chatter) dalam talian mengikuti bual bicara langsung tersebut yang turut menyentuh isu pentadbiran negara, politik, ekonomi sehingga kepada kes fitnah terhadap Anwar.

Salah satu soalan yang ditanya kepada Anwar adalah berkenaan agenda untuk memperbaiki sistem politik di negara ini.

Anwar menjawab Pakatan Rakyat akan memfokus kepada isu urus tadbir, badan kehakiman yang bebas, dan isu rasuah untuk melaksanakan reformasi.

“Tata kelola yang baik, kehakiman yang bebas, suruhanjaya pilihanraya dan rasuah serta keadilan untuk orang yang miskin dan terpinggir,” kata Anwar.

Dalam pada itu Anwar juga ditanya suasana politik di Malaysia yang berlangsung dengan serangan terhadap isu peribadi secara berterusan dan diminta menjelaskan kenapa beliau dianggap ‘merbahaya’ oleh Umno.

Menjawab soalan itu Anwar berkata, ia kerana komitmennya terhadap reformasi, menentang rasuah dan kronisme.

Ketika ditanya samada kewujudan Umno, Pas dan KEADILAN adalah baik kepada orang Melayu, Anwar berkata, penyatuan untuk menentang rasuah adalah lebih penting.

“Perpaduan adalah untuk kebebasan dan keadilan, bukan untuk mempertahankan kezaliman dan rasuah,” kata Anwar.

Anwar juga sempat ditanya dengan soalan yang bertanyakan pendapatnya tentang mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau menjawab Mahathir adalah seorang yang mempunyai disiplin yang tinggi dan kuat bekerja namun tidak boleh menerima teguran orang lain.

“Dr. M kuat disiplin dan kerja. Sosok keras dan tidak sedia menerima kritikan,” jawab Anwar.

Dalam temuramah yang sama, Anwar turut menyifatkan Perkasa sebagai satu pertubuhan yang ‘menghina kebijaksanaan rakyat Malaysia dengan laungan perkauman mereka.

Tambahnya, Perkasa merupakan ‘kerja’ Umno untuk mencipta huru-hara dan ketegangan kaum.’

Menyentuh isu ekonomi, pembicara dalam talian bernama ‘Naim’ bertanya sama ada Anwar akan meneruskan dasar melindungi industri automotif tanah air terutamanya Proton.

Anwar menjawab, bahawa sama ada Proton terus dilindungi atau pun tidak, hak pengguna dan kepentingan rakyat akan tetap menjadi keutamaannya.

“Keutamaan: pertahan pengguna dan lindungi kepentingan warganegara,” kata Anwar.

Dalam pada itu, beliau juga ditanya tentang inisiatif Pakatan Rakyat untuk mengatasi masalah penghijrahan rakyat Malaysia ke luar negara.

Anwar menjelaskan ramai golongan profesional berhijrah kerana urustadbir yang buruk dan prestasi ekonomi yang tidak memberangsangkan.

“(Jadi) keutamaan kita sekarang adalah mempromosikan pertumbuhan ekonomi, memperbaiki tata kelola, dan menjemput semula golongan profesional untuk pulang,” kata Anwar.

Pada sesi bual bicara itu, beberapa pungutan suara dalam talian turut dijalankan.

Di antara soalan yang ditanyakan adalah “Apakah masalah terbesar yang dihadapi rakyat Malaysia sekarang ini?”.

Kira-kira 55 peratus daripada mereka bersetuju bahawa ‘politik kotor’ adalah masalah terbesar negara diikuti dengan ‘rasuah’ (22 peratus) dan ‘masalah agama dan perkauman’ (13 peratus).
Mereka yang mengikuti program itu juga turut membuat pilihan untuk mengundi Pakatan Rakyat (76 peratus) berbanding BN (17 peratus) seandainya pilihan raya umum dilangsungkan esok.

Yahoo! Malaysia turut membuat tinjauan siapa ahli politik seterusnya yang ingin ditemubual oleh orang ramai menerusi Yahoo! Malaysia ‘Question Time’.

Menduduki tangga teratas senarai itu adalah Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (55 peratus) diikuti Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Mahathir 14 peratus.


Link to full article

Không có nhận xét nào:

Đăng nhận xét