Thứ Hai, 9 tháng 5, 2011

Penghijrahan Rakyat Malaysia Perlukan Reformasi Jangka Masa Panjang

Oleh YB Nik Nazmi

Laporan Ekonomi Bank Dunia tentang penghijrahan keluar rakyat Malaysia (Brain Drain) telah menarik ulasan meluas di media. Ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan memandangkan semua pihak sewajarnya prihatin tentang masalah serius ini.

Bank Dunia menganggarkan bilangan rakyat Malaysia yang berada di luar negara kira-kira satu juta orang – dan itu satu anggaran yang konservatif. Biar apa pun angka tepatnya, tren ini merisaukan apabila kita mengambilkira bahawa kira-kira satu pertiga rakyat Malaysia yang meninggalkan negara merupakan pekerja mahir, yang merupakan tiga kali lebih besar berbanding pada tahun 1990.

Isu ini dekat dengan saya memandangkan ramai rakan-rakan saya di universiti di Britain dahulu turut terangkum dalam statistik rakyat Malaysia yang meninggalkan negara. Pilihan mereka ini merupakan suatu bukti kepincangan  dasar-dasar ekonomi, sosial dan politik negara selama ini. Tiada siapa dapat menafikan bahawa kita tidak dapat meneruskan keadaan ini dan memerlukan reformasi terhadap dasar-dasar negara.

Malangnya, respon kerajaan UMNO-BN di bawah Datuk Seri Najib Tun Razak teramatlah mengecewakan. Model Ekonomi Baru yang digubal mengutamakan keputusan jangkamasa pendek dan mudah yang diistilahkan “low-hanging fruit” dan “quick-win”. Istilah-istilah yang diperkenalkan konsultan ini menekankan langkah-langkah populis, jangkamasa pendek tanpa mengambilkira reformasi yang lebih sukar dan jangkamasa panjang yang diperlukan bagi menyelesaikan punca-punca asas masalah ini.

Misalnya, Najib nampaknya yakin dengan penubuhan Talent Corp Malaysia Berhad dan mencadangkan cukai pendapatan mendatar 15 peratus selama lima tahun untuk rakyat Malaysia yang pulang akan menarik ramai rakyat Malaysia pulang ke negara. Ini satu kesilapan yang besar.

Masalah penghijrahan rakyat Malaysia tidak akan selesai dengan penubuhan satu lagi syarikat kerajaan. Pada masa yang sama kerajaan menghantar signal yang salah kepada rakyat Malaysia yang telah pulang ke negara secara sukarela dengan memberi faedah kepada individu-individu tertentu atau secara terang-terang cuba menarik rakyat pulang dengan pelbagai imbuhan.

Perubahan luaran begitu tidak akan menyelesaikan punca-punca mengapa rakyat Malaysia meninggalkan negara. Ketidakadilan sosial merupakan antara sebab utama dalam kajian Bank Dunia tentang mengapa rakyat Malaysia memilih untuk meninggalkan negara: seramai kira-kira 60 peratus daripada responden yang tersenarai meletakkannya antara tiga sebab utama mereka memutuskan untuk berhijrah. Diskriminasi sama ada di dalam sektor awam mahupun swasta, serta jurang sosio-ekonomi yang melebar telah membuatkan negara kehilangan ramai bijak pandai.

Walaubagaimanapun, harus ditekankan bahawa penghijrahan rakyat Malaysia ini bukanlah fenomena masyarakat bukan Melayu semata-mata. Kedua-dua rakan serumah saya di London memilih untuk kekal di Britain. Salah seorangnya merupakan seorang Iban dari Sarawak manakalah seorang lagi merupakan Melayu daripada Kuala Lumpur. Meskipun bilangan mereka lebih kecil berbanding masyarakat bukan-Melayu, semakin ramai orang Melayu turut berhijrah mencari kehidupan yang lebih baik, ataupun untuk membuktikan mereka boleh berjaya tanpa bantuan kerajaan.

Pada masa yang sama, kita harus menerima realiti bahawa lebih rakyat yang dapat bergerak dengan bebas dalam dunia global. Penghijrahan rakyat semata-mata bukanlah sesuatu yang negatif – fenomena ini membolehkan rangkaian baru terbina di luar negara dan mereka yang kemudiannya pulang ke negara diperkayakan dengan pengalaman yang lebih luas dan pelbagai. Tetapi bilangan penghijrahan tenaga mahir yang meningkat – di mana kita semakin kehilangan pekerja mahir sama ada rakyat Malaysia atau tidak dan menarik pekerja kurang mahir – merupakan satu masalah.

Justeru, kerajaan sewajarnya memikirkan dasar-dasar berikut:

Dasar jangkamasa pendek yang lebih berkesan ialah untuk membenarkan ibu bapa memilih sekolah yang mereka mahukan untuk anak-anak mereka. Sistem pendidikan yang kaku dan tidak inklusif tidak menarik ramai rakyat Malaysia untuk pulang dan menyebabkan ramai rakyat Malaysia yang mahir memilih untuk meninggalkan negara.

Pada jangkamasa panjang, reformasi menyeluruh sistem pendidikan kita diperlukan. Kebanyakan rakyat Malaysia cuma mampu menghantar anak-anak mereka ke sekolah kerajaan dan hanya dengan menjadikan sekolah kebangsaan kita lebih inklusif dan meningkatkan kualiti yang ditawarkan kita dapat menjadikan sekolah kebangsaan sekolah pilihan untuk semua rakyat Malaysia seperti dahulu.

Akhirnya kerajaan mestilah menekankan bagaimana untuk mengekalkan rakyat Malaysia yang berbakat sebagai cara paling efektif mengatasi penghijrahan rakyat Malaysia ini. Mengharapkan rakyat Malaysia yang telah membina karier mereka di luar negara dan mempunyai keluarga untuk pulang semata-mata kerana mereka melihat sebuah iklan Talent Corp tentang kadar cukai yang rendah amatlah melucukan.


Link to full article

Không có nhận xét nào:

Đăng nhận xét