Thứ Tư, 13 tháng 7, 2011

Selangor Tolak Diskriminasi Gender

Kenyataan Media
13 Julai 2011
Pengerusi Jawatankuasa Tetap
Hal Ehwal Wanita Negeri Selangor,
Y.B. Rodziah Ismail

Selangor Tolak Diskriminasi Gender

Kerajaan Negeri Selangor bersikap tidak toleran terhadap diskriminasi gender. Ciri masyarakat madani yang berintipatikan layanan yang saksama berasaskan perlembagaan adalah pengiktirafan terhadap hak seseorang individu, tanpa mengira lelaki ataupun wanita.

Justeru, Kerajaan Negeri Selangor menyambut baik keputusan Hakim Zaleha Yusof di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 12 Julai 2011 yang memberikan keadilan kepada Noorfadilla Ahmad Saikin dalam kes diskriminasi gender yang mana telah ditarik balik tawaran pekerjaan sebagai guru sandaran tidak terlatih kepada beliau pada tahun 2009 lalu atas alasan hamil. Ia adalah kes dan keputusan mahkamah yang julung kali berlaku dan menandakan era baru dalam lembaran hak asasi manusia, khususnya dalam keadilan dan kesaksamaan gender di Malaysia.

Kerajaan Selangor akan mengamati implikasi terhadap keputusan mahkamah tersebut dengan hemat. Pimpinan dan kakitangan Kerajaan Negeri juga akan meningkatkan ketelitian dan pendekatan menyeluruh dalam semua urusan dan urus tadbir Kerajaan Negeri dengan sentiasa mengambil kira perspektif gender supaya sama sekali tidak mendiskriminasi mana-mana wanita. Wanita berhak mendapat ganjaran, akses kepada peluang-peluang pekerjaan dan kenaikan pangkat secara adil dan saksama.

Aduan mengenai kes diskriminasi gender ini telah dibuat secara rasmi oleh Noorfadilla kepada Kerajaan Selangor menerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Wanita pada 20 Jun 2011 yang lalu. Kerajaan Negeri akan memberikan perhatian berat terhadap sebarang aduan diskriminasi gender yang telah berlaku dan akan membantu mangsa dengan cara yang terbaik dan berterusan.

Selain itu, langkah-langkah mengukuhkan sikap menolak diskriminasi gender dan menyuburkan keadilan untuk semua akan dilaksanakan secara berterusan menerusi proses sosialisasi dan penggubalan enakmen-enakmen yang berkaitan serta mewujudkan mekanisme yang sesuai bagi memantau insiden diskriminasi gender di negeri Selangor.

YB Puan Rodziah Ismail
Pengerusi Jawatankuasa Tetap
Kebajikan, Hal Ehwal Wanita
Sains, Teknologi & Inovasi dan Kebudayaan
Negeri Selangor


Link to full article

Không có nhận xét nào:

Đăng nhận xét